Monday January 31, 2022

Islamic Relief Malaysia meneruskan lagi kesinambungan program bermusim di bulan Ramadan dengan melancarkan kempen Rezeki Ramadan bermula 31 Januari 2022 hingga 2 Mei 2022.

Kempen berslogan #gandakanpahala ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2,320,000 bagi menyantuni 44,450 penerima manfaat di 32 buah negara termasuk Malaysia menerusi edaran 8,890 pek makanan.

Objektif program yang dijalankan Islamic Relief secara global ini adalah untuk membantu meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan juadah bersahur dan berbuka di bulan Ramadan.

Setiap pek makanan Rezeki Ramadan yang diedarkan dilengkapi dengan bekalan makanan asas atau makanan ruji penerima manfaat mengikut negara masing-masing seperti beras, tepung, jagung, pasta, bijirin, kekacang, daging dalam tin, minyak masak, gula, uncang teh, kurma dan lain-lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata dalam keadaan dunia yang semakin tenat dengan ujian bencana, konflik kemanusiaan dan pandemik COVID-19, kita perlu melipatgandakan lagi usaha penyaluran bantuan agar 811 juta orang di seluruh dunia yang sedang tidur dalam kelaparan setiap malam dapat kita bantu.

“Secara umumnya, bantuan pek makanan Rezeki Ramadan Islamic Relief ini berperanan sebagai bekalan makanan tambahan sewaktu bulan Ramadan. Namun, bagi sesetengah penduduk di negara konflik yang sedang berdepan ancaman malnutrisi, kelaparan mahupun kebuluran, ia mungkin menjadi satu-satunya sumber bekalan makanan utama juga satu-satunya bantuan yang sangat dinanti-nantikan mereka yang berpuasa hampir sepanjang tahun.

“Sasaran edaran 8,890 pek makanan ini akan diagihkan kepada 6,000 keluarga di seluruh Malaysia dan 2,890 keluarga di 31 buah negara lain antaranya Palestin (Gaza), Syria, Yaman, Somalia, Afghanistan dan Bangladesh,” kata Zairulshahfuddin.

Terdapat empat pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rezeki Ramadan pada tahun ini iaitu:

Sedekah Ramadan Sumbangan serendah RM10
Pek Makanan RM200 Malaysia, Sri Lanka, penduduk Bangladesh & pelarian Myanmar

di Bangladesh, India dan Bosnia & Herzegovina

Pek Makanan RM250 Afrika Selatan, Lubnan, Niger, Afghanistan, Albania, Indonesia,

Kenya, Kosova dan Tunisia

Pek Makanan RM350 Palestin (Gaza), Nepal, Syria, Mali, Filipina, Sudan Selatan,

Macedonia, Myanmar, Ethiopia, Jordan, Sudan, Iraq, Malawi, Pakistan, Yaman, Somalia, Turki dan Chechnya

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.

Pek Makanan Ramadan

Pada tahun 2021, Islamic Relief secara keseluruhan telah berjaya mengagihkan 226,829 pek makanan yang memberi manfaat kepada 1,214,705 individu di 32 buah negara.

Menerusi komitmen Islamic Relief Malaysia sahaja, sebanyak 11,145 pek makanan telah berjaya diagihkan bagi menyantuni 56,610 individu berkat sokongan serta bantuan daripada rakyat Malaysia yang pemurah dan prihatin.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE