MENGENAI KAMI

Islamic Relief ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai tindak balas terhadap krisis kebuluran di Afrika Timur. Hari ini, Islamic Relief Wordwide merupakan salah satu badan amal bantuan dan pembangunan terbesar di dunia. Dengan ibu pejabat global di Birmingham, United Kingdom, Islamic Relief Worldwide merupakan pejabat antarabangsa bagi rangkaian Islamic Relief, yang beroperasi di lebih 40 negara.

Bagi meneruskan misi bantuan kemanusiaan di Rantau Asia-Pasifik, Islamic Relief ditubuhkan di Malaysia pada 25 Jun 2004 dan dilancarkan secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 3 Mei 2005 di Kuala Lumpur.

Bermula dari itu, Islamic Relief Malaysia terus mengorak langkah lebih jauh dalam menyediakan bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Antara tahun 2008 dan 2009, krisis Israel-Palestin mencapai tahap kritikal, menyebabkan banyak kematian dan kecederaan di Gaza. Sebagai tindak balas terhadap kecemasan ini, Islamic Relief Malaysia melaksanakan beberapa projek bantuan termasuk menyediakan anggota badan palsu untuk orang kurang upaya, sokongan untuk unit kecemasan dan penjagaan rapi di hospital, tempat perlindungan, dan kaunseling untuk kanak-kanak dengan sokongan daripada Kerajaan Malaysia.

Pada April 2012, Islamic Relief Malaysia telah melancarkan pembukaan Charity Shoppe, kedai amal pertama kami untuk menyumbang kepada pengumpulan dana bagi menyokong projek-projek kemanusiaan Islamic Relief selain berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti.

Projek terbesar Islamic Relief iaitu Penajaan Anak Yatim telah dimulakan di Malaysia bermula akhir 2012. Menjelang awal 2013, kami menerima tajaan pertama untuk seorang anak yatim dari Sri Lanka.

Selain itu, Islamic Relief Malaysia juga komited dalam memenuhi keperluan komuniti termasuk memberi tindak balas terhadap kecemasan seperti banjir dan kebakaran.

Kami juga terlibat secara aktif dalam pelbagai projek antarabangsa, seperti membina kompleks air di Balcad, Somalia, pada tahun 2017.

Sebagai tindak balas kepada keperluan mendesak komuniti pelarian di Malaysia untuk mendapatkan akses kepada pendidikan, kami menubuhkan pusat pembelajaran alternatif untuk kanak-kanak pelarian. Dikenali sebagai Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE), pusat ini dibuka pada tahun 2017. Dengan moto, “With RISE We Rise”, pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk menyediakan program pendidikan holistik termasuk pengajian akademik, kemahiran hidup, dan nilai etika.

Kini, Islamic Relief Malaysia berperanan sebagai pejabat pengumpul dana dan pelaksana projek-projek tempatan dan antarabangsa.

Perjalanan selama dua dekad Islamic Relief di Malaysia dihiasi dengan usaha gigih dan keazaman untuk membantu golongan yang terpinggir, memperkasa komuniti, serta mempromosikan keadilan sosial.

Memenangi The BrandLaureate CSR BrandLeadership Award bagi kategori bantuan kemanusiaan pada tahun 2018 dan Productivity Champion bagi kategori pemimpin pada tahun 2023, pengiktirafan itu memberi impak yang besar kepada Islamic Relief Malaysia, meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap usaha kemanusiaan yang dijalankan.

VISI

Berlandaskan kepada kepercayaan serta nilai-nilai Islam, Islamic Relief berhasrat mewujudkan dunia yang prihatin di mana komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan dan masyarakat bersatu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan.

MISI

  • Membolehkan komuniti bersiapsiaga ke arah meminimumkan kesan pasca bencana, bersedia untuk menghadapi bencana akan datang dan melaksanakan tindakan sewajarnya.
  • Mempromosi pembangunan bersepadu dan pemuliharaan alam sekitar dengan penekanan kepada kehidupan mampan.
  • Membantu golongan terpinggir dan memerlukan untuk menyuarakan keperluan mereka dan bekerjasama dengan pihak lain bagi mengenalpasti punca dan mengatasi kemiskinan.

 

SASARAN GLOBAL

Sasaran global Islamic Relief bertujuan untuk memastikan agar kami membantu secara berkesan di dalam bencana, memberi sumbangan besar terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyokong perubahan positif di dalam masyarakat.

  1. Memberi tindak balas kecemasan untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan krisis kemanusiaan.
  2. Memperkasa keluarga dan komuniti.
  3. Menangani punca isu kemanusiaan di peringkat setempat dan global.
  4. Mengumpul dana dan sumber untuk membina keluarga Islamic Relief.
  5. Membina keupayaan organisasi untuk mencapai matlamat.

 

NILAI ISLAMIC RELIEF

Ikhlas | Usaha kami didorong atas dasar ikhlas kerana Allah dan keperluan untuk memenuhi tanggungjawab kepada manusia dengan jujur dan tidak mementingkan diri sendiri.

Adil | Keadilan sosial menjadi tonggak bagi masyarakat dan institusi menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan miskin dan golongan memerlukan.

Rahmah | Perlindungan nyawa dan kesejahteraan kehidupan merupakan keutamaan kami. Oleh yang demikian, kami akan bertindak terhadap penderitaan akibat bencana, kemiskinan dan ketidakadilan.

Amanah | Kami bertanggungjawab menjaga amanah terhadap bumi, sumber-sumbernya dan kepercayaan yang diberikan supaya tindakan kami telus, bertanggungjawab dan cekap.

Ihsan | Kami bertekad ke arah kecemerlangan dalam operasi dan tindak-tanduk kami, sebagai memenuhi hak semua penerima manfaat.

Fikir KEMANUSIAAN, Fikir ISLAMIC RELIEF!

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE