Browse the site and make a Donation Now!
Berpandukan nilai kecemerlangan yang menjadi salah satu tunggak utama dalam setiap operasi dan tanggungjawab sosial, Islamic Relief Malaysia (IRM) mengambil langkah positif untuk menghargai para sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan menerusi Hari Penghargaan Sukarelawan 2018 di Bangi Golf Resort. Ia memberi penghargaan istimewa kepada lebih 170 sukarelawan IRM yang hadir.
Para Ikon Kemanusiaan IRM iaitu Kumpulan Saujana dan Dr. Aizan Sofia turut hadir bagi memeriahkan suasana.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Hari Penghargaan Sukarelawan 2018 diwujudkan bagi mengikftiraf usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para sukarelawan dalam membangunkan aktiviti kemanusiaan sekaligus melahirkan dunia prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan sama ada di dalam atau luar negara.
“Kami mengiktiraf semua sukarelawan yang mempunyai potensi dan terlibat secara aktif dalam setiap program IRM. Menerusi Hari Penghargaan Sukarelawan 2018 ini, kami ingin menghadiahkan setinggi-tinggi penghargaan dan menghormati kesetiaan serta kesungguhan mereka dalam berkhidmat kepada para penerima manfaat kami.
“Selain itu, Hari Penghargaan Sukarelawan 2018 yang dikendalikan oleh Unit Pembangunan Sukarelawan IRM juga adalah tanda penghormatan dalam mengingati Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada setiap 5 Disember.
“Antara fokus program ini dijalankan adalah untuk menghebahkan setiap aktiviti kemanusiaan IRM agar lebih ramai sukarelawan tertarik dalam menggembleng tenaga ke arah pembangunan sukarelawan yang lebih bersepadu di samping merapatkan hubungan kekeluargaan antara para sukarelawan dan IRM.”
Ia juga dilihat sebagai platform terbaik kepada sukarelawan untuk menceburi bidang kemanusiaan memandangkan aktiviti-aktiviti yang disediakan khas oleh IRM dapat memupuk jati diri seseorang individu.
Tahun lalu, IRM telah menjalankan sebanyak 32 program melibatkan sukarelawan. Melaluinya, seramai 839 individu kini sah menjadi sukarelawan IRM, 195 daripadanya telah menjalani Kursus Induksi Sukarelawan IRM, manakala 558 sukarelawan lagi terlibat dalam program IRM secara tidak langsung. Sehingga hari ini, IRM mempunyai lebih daripada 3,000 sukarelawan berdaftar di Malaysia yang bersedia untuk berkhidmat dalam dunia kemanusiaan.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434