Browse the site and make a Donation Now!
Rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang diseru untuk menyokong usaha Islamic Relief Malaysia (IRM) dan menyumbang kepada kempen “Save Syria Appeal”. Kempen itu menyasarkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta kepada penerima manfaat di kawasan Syria, terutamanya di Timur Ghouta.
Islamic Relief (IR) kini menggembleng tenaga di Timur Ghouta menerusi rakan kemanusiaan tempatan serta menyalurkan barang bukan makanan seperti selimut, cadar, bahan memasak dan sabun. IR turut memberi bantuan bekalan bahan bakar sebagai keperluan musim sejuk kepada mangsa yang berkenaan.
Pengagihan makanan sedang berlangsung di Timur Ghouta oleh pasukan IR dan kini pengagihan makanan disalurkan kepada 1,500 keluarga dan roti-roti kepada 1,334 keluarga. IR sangat komited dalam menyalurkan bantuan makanan kepada penerima manfaat walaupun konflik di Syria bertambah buruk.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 346 penduduk telah terkorban dan 878 lagi tercedera. Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyeru agar konflik di Syria dapat diselesaikan segera dan beliau menyifatkan keadaan di Timur Ghouta sebagai ‘Neraka Dunia’. Sejak beberapa minggu lalu, serangan ketenteraan telah memburukkan lagi keadaan di Syria.
Serangan bom di selatan dan selatan-timur kawasan Idlib telah mencatatkan banyak kematian serta perpindahan mangsa, termasuklah kerosakan infrastruktur. Sekitar 15 Disember 2017 hingga 3 Februari 2018, Penyelarasan dan Pengurusan Kem (PPK) merekodkan perpindahan sebanyak 325,443 di kawasan utara-barat Syria, iaitu Dana, Salqin, Kafr Nobol, Ariha dan daerah kecil Atareb.
20 Januari lalu, satu serangan telah dilancarkan di daerah Afrin yang menyebabkan 30,000 penduduk terpaksa berpindah. Sebagai rekod, kira-kira 400,000 penduduk kini berada di bawah pengepungan kerajaan yang dikenakan di Ghouta Timur sejak 2013.
Kebanyakan jalan utama dilaporkan musnah dan situasi ini menghalang saluran bantuan, operasi menyelamat, dan pergerakan ambulans terbatas. Stok-stok bantuan yang masih ada kini semakin berkurangan. Laluan masuk yang banyak disekat tidak menghalang pasukan IR untuk menghulur bantuan sebanyak yang mungkin.
IR telah aktif dalam membantu mengurangkan krisis di Syria sejak 2011 dan bekerjasama untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terlibat dalam keganasan. Antara bantuan yang pernah disalurkan termasuklah ubat-ubatan, makanan, baucar World Food Programme, tempat perlindungan dan bayaran sewa, air dan sanitasi, barang bukan makanan seperti pakaian, selimut dan alat pemanas, dan bantuan psikososial.
Timur Ghouta adalah kawasan pertanian terletak di timur Damsyik yang merupakan tempat tinggal 400,000 penduduk. Kawasan itu telah menghadapi sekatan laluan masuk sejak konflik yang berlaku di Syria dan kini dikategorikan sebagai kawasan yang ‘dikepung’ oleh PBB pada tahun 2013.
Penduduk di sini turut terjejas dengan konflik berlarutan dan sekatan laluan. Kepungan yang berterusan di kawasan mengakibatkan kekurangan makanan yang meruncing dan kenaikan harga barangan yang melambung tinggi. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kenaikan cukai dikenakan ke atas peniaga oleh Kerajaan Syria yang menyebabkan harga barangan asas meningkat sehingga 50%. Selain itu, harga bahan bakar yang mendadak turut menyebabkan kekurangan bahan makanan; minyak plastik merupakan satu-satunya sumber bahan bakar yang bernial RM64 seliter (kenaikan sepuluh kali ganda berbanding harga purta diesel). Minggu lalu, Timur Ghouta telah menerima bantuan awal dalam tempoh hampir tiga bulan. Kekurangan bekalan makanan kian berleluasa dan bekalan roti berkurangan 22 kali ganda mengikut purata. 12% kanak-kanak berumur di bawah lima tahun turut mengalami malnutrisi.
Baru-baru ini, terdapat serangan udara dilepaskan ketika Kerajaan Syria cuba menguasai kawasan pemberontakan terakhir di Timur Ghouta. Kanak-kanak merangkumi separuh daripada penduduk dan mereka terpaksa menanggung serangan itu. Jumlah kematian terus meningkat disebabkan kemudahan perubatan semakin terancam. Serangan itu bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk malah sumber kehidupan mereka seperti kilang roti, gudang dan apa sahaja yang dilihat sebagai sumber bekalan makanan. Serangan itu menyasarkan jalan-jalan utama bagi menghalang apa jua bantuan atau operasi menyelamat dan membataskan pergerakan ambulans. Sekitar empat hari yang lalu di kawasan kepungan Damsyik, 3,000 serangan udara dan darat dilancarkan termasuk 420 serangan udara, 140 bom, 1,523 roket, dan 882 serangan bersenjata. Sekitar 310 orang maut dan 1,550 cedera,
72 kanak-kanak dan 45 wanita merupakan antara mereka yang maut. 6 hospital dan kemudahan kesihatan turut musnah ketika serangan dilancarkan. Bekalan ubat kian berkurangan dan ketika ini hanya terdapat seorang pakar bedah vaskular, seorang pakar bedah saraf dan seroang pakar ginekologi di Ghouta. Tiada pakar perubatan dan pakar kardiologi direkodkan di Ghouta.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434