Browse the site and make a Donation Now!
Berita mengenai persetujuan genjatan senjata di Gaza membawa sedikit sinar harapan selepas lebih 15 bulan berdepan kekejaman yang berterusan dan belum pernah berlaku sebelum ini.
Namun, cabaran sebenar adalah apa yang akan berlaku selepas ini. Adakah perjanjian ini akan dipatuhi dan adakah gencatan sementara ini akan menjadi kekal?
Keamanan yang berkekalan tidak akan dapat dicapai tanpa berakhirnya pendudukan Israel di Palestin.
Selama hampir 500 hari, Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, pembersihan etnik dan menyebabkan kebuluran terhadap orang awam Palestin di Gaza, sementara seruan untuk gencatan senjata terus diabaikan.
Dunia telah menyaksikan kehilangan nyawa dan kemusnahan yang sukar dibayangkan sehingga menyebabkan Semenanjung Gaza musnah, puluhan ribu orang terkorban dan lebih ramai mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan mereka.
Undang-undang antarabangsa telah dicabuli tanpa sebarang tindakan apabila Israel menyasarkan hospital, sekolah dan pusat perlindungan, memaksa keluarga berpindah dari kediaman mereka serta menyekat bantuan kemanusiaan daripada sampai kepada mangsa yang terselamat.
Keadaan ini turut menyebabkan bayi kehilangan nyawa akibat kekurangan zat makanan dan hipotermia.
Walaupun rundingan telah memasuki peringkat akhir, puluhan lagi rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu apabila serangan bom Israel terus menyasarkan kawasan perlindungan.
Amat penting supaya persetujuan genjatan senjata ini dilaksanakan sepenuhnya dan dengan segera, serta gencatan sementara ini dapat berkembang menjadi gencatan senjata yang kekal.
Situasi kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap yang sangat kritikal. Kami berharap persetujuan ini dapat membolehkan agensi-agensi bantuan meningkatkan operasi kemanusiaan secara besar-besaran bagi membantu menangani ancaman kebuluran.
Islamic Relief bersedia untuk memperluaskan operasi bantuan. Namun, sepanjang tahun lalu, janji untuk membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza telah berulang kali dimungkiri.
Kami menyeru agar semua sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan ditarik balik dan masyarakat antarabangsa perlu memastikan Israel dipertanggungjawabkan sekiranya bantuan terus disekat.