SEJARAH PENUBUHAN

Islamic Relief diasaskan oleh Dr. Hany El-Banna bersama sekumpulan mahasiswa perubatan University of Birmingham, UK pada tahun 1984 sebagai tindak balas terhadap isu kebuluran di Afrika Timur ketika itu. Beliau dan rakan-rakan mengumpul dana pertama Islamic Relief melalui kutipan di masjid, sumbangan daripada rakan-rakan, keluarga dan persatuan Islam yang lain dan berjaya mendapat sumbangan sebanyak £135,000. Melalui dana tersebut, Islamic Relief menjalankan tiga projek antarabangsa dalam tahun pertama operasi iaitu projek penyediaan dua ladang ayam di Sudan, projek penghantaran sumbangan biskut dan vitamin ke Sudan dan projek penghantaran sumbangan tepung gandum ke Mauritania.

Pada tahun 1985, Islamic Relief menyewa pejabat kecil di sebuah pusat komuniti di Birmingham dan diuruskan oleh kumpulan sukarelawan yang sangat dedikasi. Pada tahun ini, bilangan sukarelawan Islamic Relief semakin bertambah dan dikenali kerana mereka bertungkus lumus siang dan malam dalam melaksanakan projek dan mengumpul dana.

Islamic Relief berkembang dengan sangat pesat. Dalam tempoh lima tahun berikutnya, Islamic Relief mula beroperasi di Mozambique, Iran, Pakistan, Malawi, Iraq dan Afghanistan dengan memberikan bantuan kecemasan, mengedarkan pakaian, makanan, menawarkan sokongan kesihatan dan memulakan projek jangka panjang yang kini dikenali sebagai program penajaaan anak yatim.

Hari ini, Islamic Relief Worldwide merupakan antara badan amal bantuan dan pembangunan terbesar di dunia. Dengan ibu pejabat global di Birmingham, UK, ia adalah pejabat antarabangsa bagi rangkaian Islamic Relief yang beroperasi di lebih 45 buah negara. Pada tahun 2023 sahaja, Islamic Relief telah membantu lebih 16.8 juta orang melalui pelbagai sektor termasuk kecemasan, pembangunan, makanan, kesihatan, Ramadan, qurban, musim sejuk dan penajaan anak yatim.

Hasil usaha keras selama bertahun-tahun, kualiti kerja Islamic Relief telah diiktiraf dan diperakui oleh Piawaian Kemanusiaan Teras (CHS), satu piawaian dan tatakelakuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam sektor kemanusian.

Sehingga kini, Islamic Relief merupakan satu-satunya NGO Islam di UK yang memegang pensijilan itu. Islamic Relief percaya bahawa kelulusan CHS selaras dengan nilai-nilai Islam yang dipegang iaitu Ikhlas, Adil, Rahmah, Amanah, dan Ihsan.

Status Islamic Relief sebagai ahli penuh Piagam Akauntabiliti INGO, penandatangan kepada Tatakelakuan Palang Merah dan pengamal kepada Kod Amalan Terbaik People in Aid menandakan pengiktirafan kecemerlangan Islamic Relief dalam memastikan ketelusan, melaksanakan tadbir urus yang baik dan menjalankan tanggungjawab sosial dalam gerak kerjanya.

Pada tahun 2017, berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh NGO Advisor, Islamic Relief telah tersenarai dalam 20 NGO terbaik daripada 500 NGO terkemuka di dunia. Islamic Relief telah dinilai melalui tiga kriteria berkaitan impak, inovasi dan tadbir urus di dalam kategori kanak-kanak & belia, pemerkasaan ekonomi dan kecemasan; krisis, pelarian, tempat tinggal dan keadilan sosial.

Tahun ini, Islamic Relief meraikan ulang tahunnya yang ke-40 dengan rekod pencapaian bantuan kemanusiaan yang membanggakan sepanjang kewujudannya. Sehingga kini Islamic Relief telah membantu lebih 145 juta orang sejak beroperasi. Skop bantuan Islamic Relief merangkumi bantuan kecemasan, pembangunan mampan bersepadu, pengurangan risiko bencana dan advokasi.

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE