Browse the site and make a Donation Now!
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 12 juta penduduk Afghanistan dilaporkan berdepan ancaman kelaparan pada tahap kritikal manakala 3.5 juta lagi menghampiri risiko kebuluran.
Islamic Relief memberi amaran sekiranya bantuan kemanusiaan tidak disalurkan dengan kadar segera, bencana ini bakal meragut banyak nyawa.
Ramai penduduk Afghanistan kini semakin tertekan dengan situasi semasa di mana bekalan makanan kian berkurangan sedangkan harga makanan melambung tinggi dan kadar pengangguran meningkat.
Dilaporkan, keadaan di kawasan luar bandar lebih buruk ekoran berlaku peningkatan angka kematian dan kes malnutrisi.
Rakyat Afghanistan kini terpaksa menghabiskan wang simpanan yang ada untuk membeli makanan selain berhutang dan mengemis di jalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurut Penyelaras Program Kemanusiaan Islamic Relief Afghanistan, Mohammed Hamid Sattai berkata, kedai-kedai yang mula beroperasi telah menaikkan harga makanan yang dijual hingga 10 ke 20 peratus dalam tempoh seminggu.
Dijangkakan harga barang makanan akan terus meningkat lebih tinggi kerana penutupan laluan di sempadan dan masalah gangguan yang berlaku di pasar jualan.
“Kami lihat, keadaan orang ramai semakin terdesak sehingga mereka terpaksa meminta sayur-sayuran yang sudah layu dan dan tidak lagi dijual daripada kedai-kedai berhampiran serta memetik bunga-bungaan untuk dijadikan sup.
“Mereka benar-benar berdepan kesukaran untuk menyediakan makanan buat keluarga. Ada yang terpaksa makan sekali sehari dan ada juga yang langsung tidak dapat menjamah apa-apa. Golongan wanita dan kanak-kanak antara yang paling teruk terjejas.
“Kebiasaannya, kaum wanita akan mengutamakan keperluan ahli keluarga yang lain berbanding diri sendiri. Masalah kekurangan atau ketiadaan makanan ini boleh memudaratkan kesihatan ibu dan anak dalam jangka masa panjang.
“Sekiranya kerja-kerja penyaluran bantuan kemanusiaan bagi keperluan mendesak seperti makanan masih lagi tidak dapat dilaksanakan segera berikutan keadaan semasa yang tidak menentu, golongan ibu di Afghanistan bakal diancam penyakit anaemia manakala kanak-kanak pula berisiko menghadapi malnutrisi,” kata Mohammed Hamid Sattai.
Sebelum ini, sebahagian besar rakyat Afghanistan sememangnya sudah menderita kelaparan dan kemiskinan akibat kemarau, pergolakan dan pandemik COVID-19. Tahun ini dijangkakan, separuh daripada populasi kanak-kanak berumur bawah lima tahun berisiko diancam penyakit kekurangan zat makanan.
Hampir 6,000 orang telah meninggalkan kediaman mereka pada tahun ini termasuk individu yang melarikan diri ke Kabul dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Kebanyakan daripada mereka tidak menerima apa-apa bantuan dan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Turut dilaporkan, jangkitan diarea dan penyakit bawaan air sudah mula menular di kawasan itu.
“Islamic Relief menyeru semua pihak yang berkuasa di Afghanistan untuk memastikan petugas kemanusiaan dapat menjalankan kerja-kerja mereka secara bebas dan selamat serta akses kepada bantuan kemanusiaan tidak disekat. Kami juga berharap para penyumbang dapat tampil menzahirkan sokongan anda untuk membantu penduduk Afghanistan supaya mereka tidak merasa dilupakan ketika saat kritikal seperti ini.
“Islamic Relief mula menyantuni penduduk di Afghanistan sejak tahun 1999 dan sangat komited untuk membantu puluhan ribu orang yang memerlukan di sana.
“Dalam tempoh lebih 19 tahun ini, Islamic Relief telah berjaya menyalurkan bantuan meliputi sektor kecemasan dan program pembangunan jangka masa panjang seperti memperkasa ekonomi golongan wanita dan tahap literasi, menangani isu ketidaksamarataan jantina, merawat kanak-kanak yang kekurangan zat makanan, menyediakan bantuan makanan, menyokong usaha pemulihan bagi penagih dadah serta bantuan COVID-19,” kata Waseem Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Worldwide.
Untuk makluman, Islamic Relief Worldwide telah melancarkan kempen Rayuan Kecemasan Afghanistan yang menyasarkan dana sebanyak 5 juta dolar untuk membantu mereka yang memerlukan di Kabul, Balkh, Herat dan Nangarhar melibatkan bantuan pek makanan, kit kebersihan, perlindungan dan barangan keperluan lain.
Sumbangan boleh dilakukan menerusi pautan berikut: https://www.islamic-relief.org/we-urgently-need-your-help-to-support-vulnerable-families-in-afghanistan/
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434