Wednesday January 8, 2025

Gencatan senjata berkekalan dan peningkatan bantuan kemanusiaan adalah satu-satunya jalan untuk menghentikan tragedi kematian bayi di Gaza akibat kesejukan musim sejuk.

Hal ini disuarakan oleh Islamic Relief setelah seorang lagi bayi kecil dilaporkan meninggal dunia akibat kesejukan di khemah mereka beberapa hari lalu, berpunca daripada serangan dan kepungan berterusan oleh Israel.

Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan bayi di Palestin telah meninggal dunia akibat hipotermia. Penduduk Gaza yang dipindahkan secara paksa hanya mampu berteduh di khemah-khemah nipis yang tidak mampu menahan kesejukan dan hujan lebat, tanpa bekalan makanan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi.

Antara yang maut ialah seorang bayi paling muda berusia tiga hari. Selain itu, seorang bayi berusia 20 hari dilaporkan mati kesejukan bersama saudara kembarnya, yang turut meninggal dunia pada keesokan harinya.

Walaupun suhu sejuk sekitar 7°C mungkin dianggap biasa, namun keadaan itu menjadi ancaman besar kepada penduduk Gaza yang telah menderita akibat pengeboman tanpa henti selama 15 bulan.

Penafian terhadap bantuan kemanusiaan, pemindahan paksa orang awam serta kehancuran kemudahan kesihatan telah menjadikan bayi-bayi di Gaza lebih terdedah kepada risiko maut.

Seorang petugas Islamic Relief berkata, “Kematian bayi-bayi ini sepatutnya boleh dielakkan. Kanak-kanak tidak seharusnya meninggal dunia dalam keadaan cuaca sejuk sebegini. Tindakan Israel yang menafikan hak rakyat Palestin terhadap keperluan asas seperti tempat perlindungan, makanan, dan penjagaan kesihatan telah menyebabkan kematian bayi-bayi tersebut. Orang ramai tiada tempat untuk berlindung daripada serangan bom, kesejukan dan kelaparan. Hanya gencatan senjata dan penamatan kepungan Israel mampu menghentikan tragedi ini.”

Kesan pengeboman Israel sangat ketara apabila 92 peratus rumah di Gaza dilaporkan telah musnah atau rosak teruk. Ramai penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di khemah yang hanya mampu bertahan sementara waktu.

Dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk, tentera Israel terus mengarahkan penduduk Gaza meninggalkan kawasan kediaman mereka di tengah-tengah malam, tanpa memberikan peluang untuk mereka membawa pakaian atau barangan yang boleh menghangatkan tubuh. Kebanyakan keluarga dipaksa berlindung di kawasan pantai seperti al-Mawasi, tetapi keadaan khemah mereka tidak mampu menahan angin kencang dan ombak besar.

Kebanyakan khemah yang diedarkan setahun lalu kini telah usang dan rosak. Kekurangan bantuan kemanusiaan terus memburukkan keadaan. Dalam bulan Disember sahaja, hanya 76 trak bantuan dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari, jauh lebih rendah daripada 500 trak sehari yang biasa memasuki kawasan tersebut sebelum Oktober 2023. Lebih menyedihkan, hanya 160 trak membawa barangan keperluan dan peralatan tempat tinggal yang berjaya memasuki Gaza sepanjang bulan Disember, walaupun situasi semakin mendesak.

Penduduk Gaza kini semakin dihimpit tekanan. Mereka hampir tiada bekalan makanan, selimut tebal, atau bahan bakar untuk memanaskan badan. Semua ini berpunca daripada sekatan ketat Israel, terutama di kawasan utara Gaza.

Dalam usaha membantu, Islamic Relief bersama rakan-rakan kemanusian meneruskan agihan bantuan kepada penduduk Gaza. Minggu lalu sahaja, lebih 800,000 hidangan panas dan makanan sedia dimakan telah diedarkan kepada penduduk di kawasan Khan Younis serta bandar Gaza dan pengagihan pakaian musim sejuk telah diberikan kepada sekitar 5,000 orang. Namun, semua bantuan ini masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk yang amat memerlukan.

Selain itu, kerosakan infrastruktur kesihatan serta air dan sanitasi di Gaza turut menyumbang kepada penderitaan penduduk. Banyak hospital telah diserang, dikepung, dan dibakar, menjadikan lebih separuh hospital serta lebih 60 peratus pusat kesihatan utama tidak lagi berfungsi. Situasi ini menyebabkan bayi dan kanak-kanak semakin sukar untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Tragedi yang berlaku di Gaza ini tidak seharusnya berterusan. Gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan segera perlu dilaksanakan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban, terutamanya bayi-bayi yang tidak berdosa.

Orang ramai berpeluang untuk membantu penduduk Gaza dengan menyumbang terus ke kempen Rayuan Palestin IR Malaysia di laman web; www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE