Saturday June 22, 2019

10,000 penduduk dari Wilayah Nugaal, Puntland, Somalia bakal menerima manfaat impak daripada pembinaan dua unit telaga air di kawasan itu.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM), Zairulshahfuddin Zainal Abidin yang ditemui selepas sesi pelancaran projek Dana Wakaf Air Somalia (DWAS) 2.0 di majlis MySinggah Raya anjuran IRM, hari ini.

“IRM melancarkan projek DWAS 2.0 dalam usaha untuk memberi penyelesaian jangka masa panjang kepada rakyat Somalia yang diancam kebuluran sejak tahun 2011.

“Kami menyaksikan keberkesanan pelaksanaan projek terdahulu di Mogadishu ketika sesi lawatan pada bulan Mac lalu dan sebagai kesinambungan, kami akan meneruskan projek sebegini di kawasan lain di Puntland,” jelas Zairulshahfuddin.

Dalam misi kemanusiaan ke Somalia awal Mac lalu, Zairulshahfuddin dan tim IRM telah melawat beberapa projek Islamic Relief (IR) di sana termasuk bantuan dua unit telaga air hasil sumbangan rakyat Malaysia yang siap dibina pada tahun 2018.

“Kami menyasarkan kutipan dana untuk DWAS 2.0 sebanyak RM3.3 juta untuk membina dua lagi unit telaga air lengkap dengan tangki penyimpanan air, set penjanaan elektrik, pam air, sistem perpaipan dan saliran air dan akan dilaksanakan oleh Islamic Relief Somalia (IR Somalia) yang telah bertapak di sana sejak tahun 2006,” tambah Zairulshahfuddin.

Majlis pelancaran DWAS 2.0 telah disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah IRM, Prof. Dr. Azni Idris disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin. Turut hadir, Duta Republik Persekutuan Somalia, TYT Abukar Abdi Osman.

Pada tahun 2017, IRM telah melaksanakan misi kemanusiaan yang pertama ke Somalia bagi meninjau dan menilai projek-projek di samping mengenalpasti potensi projek yang boleh dijalankan. Hasil penilaian tersebut, IRM telah melancarkan kempen Dana Wakaf Air Somalia (DWAS) bagi memberi sumbangan untuk projek Water Wells in Balcad, Middle Shabelle Somalia (WEBS).

Hasil sumbangan rakyat Malaysia, IRM beroleh kutipan dana sebanyak RM1.9 juta melepasi sasaran awal RM1.5 juta. Dua unit telaga air; Maqar Areys dan Waberi Star berjaya disiapkan pada tahun 2018 dan memanfaatkan 60,000 penduduk di Balcad, Shabelle Tengah, Somalia.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk DWAS 2.0 boleh hubungi talian 03-89263434 atau layari laman sesawang rasmi www.islamic-relief.org.my.

MySinggah Raya

Dalam pada itu, MySinggah Raya dihadiri kira-kira 700 pengunjung dari kalangan penerima manfaat, pihak penaja, rakan kemanusiaan IRM, para penyumbang, Ikon Kemanusiaan IRM, rakan media, sukarelawan serta orang awam.

Majlis yang dianjurkan setiap tahun itu bertujuan untuk merai dan merapatkan ukhuwah di kalangan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bersama IRM.

IRM turut meraikan 212 penerima manfaat yang terdiri daripada golongan anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain dari Refugee Intellectual Skill & Excellence (RISE), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA), Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (POKUAM), Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM), Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), SK Bukit Tampoi, usahawan Bukit Tampoi, serta penerima manfaat Gift of Hope (GOH) dan bantuan Program Sejahtera.

Selain pelancaran DWAS 2.0, antara aktiviti lain yang diadakan adalah persembahan nyanyian oleh Afad & Friends, Kumpulan Saujana selaku Ikon Kemanusiaan IRM, perkongsiaan oleh sukarelawan dan Ikon Kemanusiaan IRM, persembahan puisi, aktiviti mewarna dan ‘face painting’ bersama kanak-kanak, jualan ‘Mega Sale Raya’ di Charity Shoppe, penyerahan cenderehati dan duit raya serta pelbagai lagi acara menarik.

IRM turut berbesar hati menerima pelbagai tajaan dan sumbangan dari Omar & Hana, Warisan Bagan Interprise, Santai Penyet, Printar, Signature Café, Delicious Cream Puff, Laksa Redup Rimba, Sweet Roz Bakery & Café, Qayyum Foods, Ritzreka, Konsortium ICT Pantai Timur dan Chef Lyn.

Ikon Kemanusiaan IRM, Ashraf Muslim, Dr. Aizan Sofia, Irma Hasmie dan Saujana turut hadir memeriahkan suasana.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE