Wednesday October 23, 2019

Islamic Relief Malaysia (IRM) telah melancarkan kempen Rayuan Musim Sejuk pada 18 Oktober 2019 bagi mengumpul dana khusus untuk membantu mereka yang terkesan dengan ancaman cuaca sejuk melampau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, pihaknya menyasarkan kutipan bantuan sebanyak RM1 juta sehingga hujung Januari 2020 untuk disalurkan kepada para pelarian Syria yang berada di Utara Syria serta di Gaziantep sempadan Turki juga penduduk yang terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini di Mirpur, Pakistan.

“Bantuan yang akan diberikan meliputi barangan bukan makanan atau Non-Food Items (NFI) seperti jaket / baju sejuk, stokin, kasut, selimut, tilam, kayu api, arang, kanvas / tarpaulin dan plastik penebat haba. Keperluan ini amat penting bagi membantu mereka menghadapi cuaca sejuk yang boleh menjunam sehingga paras -1°C,” jelas Zairulshahfuddin.

Rentetan kejayaan pengumpulan dana bagi kempen musim sejuk tahun lalu, IRM meneruskan kesinambungan penggunaan pakej sebagai langkah promosi bagi memudahkan masyarakat memahami konsep bantuan yang disalurkan seterusnya menyertai kempen ini.

“Tahun ini, IRM menyediakan tiga pakej sumbangan dengan harga bermula serendah RM200 hingga RM350. Orang ramai boleh membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing seperti yang disenaraikan di dalam pakej.”

“Namun begitu, kami tidak menghalang sekiranya ada yang ingin menyumbang dengan jumlah yang kurang atau lebih dari pakej sedia ada,” tambah Zairulshahfuddin.

Dana yang dikumpulkan menerusi tabung ini bakal memberi manfaat kepada 795 buah keluarga pelarian di Syria, 800 buah keluarga pelarian Syria di Turki dan 140 buah keluarga di Pakistan.

Walaupun ancaman dan kesengsaraan menghadapi musim sejuk asing bagi masyarakat kita, namun IRM yakin dengan sokongan dan keprihatinan rakyat Malaysia, sasaran yang ditetapkan mampu dicapai dengan usaha bersama seperti yang kita realisasikan pada tahun lalu.

Cabaran cuaca sejuk melampau tidak boleh dipandang enteng. Menurut laporan agensi berita Aljazeera yang memetik kata-kata dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak dan bayi baru lahir maut akibat cuaca sejuk melampau dan hipotermia di timur laut Syria pada Januari lalu.

“Kehidupan sebagai pelarian sememangnya sangat menyedihkan. Tersepit antara konflik peperangan dan diuji dengan bencana alam, tiada apa yang tinggal untuk mereka sebagai bekalan dalam meneruskan kehidupan.”

Tambah Zairulshahfuddin, “Setiap kali IRM mula melancarkan kempen ‘winter appeal’, saya pasti akan terkenang pengalaman mengikuti misi kemanusiaan ke Kosova ketika bertemu dan bersalaman dengan sekumpulan kanak-kanak yang sedang menggigil menahan kesejukan yang menusuk ke tulang tanpa memakai sarung tangan, stokin dan baju tebal.”

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita berganding bahu membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang diuji khususnya kanak-kanak, bayi, kaum wanita dan warga emas kerana mereka golongan yang paling terdedah dengan ancaman maut ketika musim sejuk,” akhiri Zairulshahfuddin.

Kempen Rayuan Musim Sejuk IRM akan berlangsung selama lebih 3 bulan dan akan berakhir pada 31 Januari 2020.

Pakej Sumbangan Kempen Rayuan Musim Sejuk:

Harga (RM) Pakej Jenis Sumbangan
200.00 Protect With Love Jaket / Baju Sejuk, Kasut, Stokin
250.00 Comfort With Love Selimut, Tilam, Plastik Penebat Haba
300.00 Stay Warm With Love Kayu Api, Arang

Kempen Rayuan Musim Sejuk

Setiap tahun, Islamic Relief melaksanakan kempen Rayuan Musim Sejuk bagi mengumpul dana untuk disalurkan ke negara-negara yang mengalami musim sejuk meliputi rantau Timur Tengah, Asia dan Eropah Timur.

Di Timur Tengah, Islamic Relief menyasarkan bantuan lebih RM20 juta bagi membantu 28,750 penerima manfaat yang berada di Syria, Gaza, Iraq, Jordan, Lubnan, Tunisia dan Yemen dengan agihan barangan bantuan seperti pakaian musim sejuk, kit kebersihan, alat pemanas serta bantuan baik pulih kediaman melibatkan bahagian bumbung, pintu dan tingkap.

Di Asia pula, Islamic Relief menyasarkan bantuan lebih RM9 juta meliputi pek makanan dan barangan bukan makanan bagi membantu 207,000 individu daripada negara-negara seperti Afghanistan, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Pakistan.

Tidak ketingggalan kawasan Eropah Timur, Islamic Relief turut prihatin menyasarkan bantuan lebih RM3.2 juta untuk membantu 13,435 penerima manfaat di Albania, Macedonia, Kosova, Bosnia dan Chechnya. Bantuan yang akan disalurkan ialah pek makanan, kayu api, selimut, baju sejuk dan beberapa keperluan lain yang penting dalam menghadapi musim sejuk.

Tahun ini Islamic Relief Malaysia (IRM) memberi fokus kepada pelarian Syria di dalam Syria dan sempadan Turki kerana mereka masih kekal terperangkap dalam konflik yang tiada noktah sementara Mirpur, Pakistan pula terpilih susulan insiden gempa bumi yang melanda kawasan itu pada September lalu.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE