Sunday March 1, 2026

1 Mac 2026

Islamic Relief menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan ketenteraan di Timur Tengah dan menyeru semua pihak supaya mengutamakan perlindungan orang awam serta penyelesaian secara diplomatik.

Islamic Relief Worldwide amat bimbang terhadap konflik ketenteraan yang semakin memuncak di seluruh Timur Tengah dan menggesa semua pihak yang terlibat supaya segera mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan serta mencari penyelesaian melalui saluran diplomatik.

Orang awam sentiasa menjadi pihak yang paling terjejas dalam setiap konflik ketenteraan dan perlindungan terhadap mereka mesti menjadi keutamaan.

Ketegangan ini berlaku ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan, bulan yang penuh dengan nilai kasih sayang dan belas ihsan. Mereka yang berada di seluruh Timur Tengah berhak menyambut bulan suci ini dalam keadaan aman dan tanpa rasa takut.

Sebagai sebuah badan kebajikan dan kemanusiaan Islam yang bebas dan terbesar di dunia, Islamic Relief sedang memantau dengan rapi perkembangan situasi di seluruh rantau ini, termasuk di negara-negara dimana Islamic Relief menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa seperti Yaman, Lubnan, Iraq, Turkiye, Jordan, Syria dan Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Kami amat bimbang sekiranya ketidakstabilan serantau yang lebih meluas boleh menjejaskan dan menyebabkan jutaan orang awam di seluruh Teluk dan kawasan sekitarnya kehilangan tempat tinggal.

Islamic Relief telah lama berkhidmat kepada sebahagian golongan paling rentan di rantau ini, dan kami amat menyedari betapa cepatnya operasi kemanusiaan boleh terganggu apabila konflik merebak.

Ketegangan yang semakin meningkat berisiko memutuskan akses komuniti yang bergantung kepada bantuan Islamic Relief seperti makanan, tempat perlindungan, air bersih, dan penjagaan kesihatan.

Islamic Relief menyeru semua pihak agar mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, melindungi nyawa orang awam, dan memastikan organisasi kemanusiaan dapat terus beroperasi dengan selamat.

Penderitaan orang awam, yang sebahagian besar telah lama hidup dalam kesusahan bertahun-tahun, tidak sepatutnya diperburuk oleh tindakan ketenteraan.

Konflik ketenteraan yang berterusan berpotensi mencetuskan perpindahan besar-besaran orang awam serta mewujudkan gelombang pelarian di seluruh rantau ini.

Islamic Relief bersedia untuk memperluas bantuan sekiranya terdapat keperluan kemanusiaan di lapangan.

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE