Browse the site and make a Donation Now!
Islamic Relief berduka cita atas pemergian salah seorang kakitangan yang paling disayangi dan paling lama berkhidmat di Sudan.
Izzeldin Mohamed Juma, 49 tahun, telah mendedikasikan seluruh hidupnya untuk membantu orang lain. Beliau terbunuh pada 11 Mac ketika melindungi keluarganya daripada serangan sekumpulan lelaki bersenjata yang menyerbu dan merompak rumah mereka di kawasan Jebel Aulia, Khartoum.
Peperangan di Sudan yang hampir mencecah dua tahun telah mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, mengakibatkan keruntuhan undang-undang dan ketenteraman awam. Serangan terhadap orang awam berlaku tanpa sebarang hukuman, sementara ramai petugas kemanusiaan turut terkorban dalam keganasan yang berterusan.
Izzeldin telah menabur khidmat bersama Islamic Relief selama lebih 30 tahun, terutamanya sebagai pengawal keselamatan dan penyambut tetamu. Doa dan ingatan kami mengiringi keluarga Izzeldin termasuk isteri dan 10 orang anak mereka.
Pengarah Negara Islamic Relief Sudan, Elsadig Elnour berkata:
“Izzeldin akan dirindui oleh seluruh warga Islamic Relief. Beliau akan terus dikenang atas kesetiaan, keberanian, dan dedikasinya dalam memastikan keselamatan orang lain. Dikenali sebagai seorang yang baik hati, pemurah, dan penuh kasih sayang terhadap keluarga serta komuniti, kehilangannya amat dirasai. “Di tempat kerja, beliau seorang yang sangat berdedikasi, sentiasa berusaha melangkaui tanggungjawabnya demi menjaga keselamatan orang ramai dan aset organisasi. Di luar pekerjaan, beliau berperanan sebagai Imam di masjid kawasan kediamannya, di mana kehadirannya membawa ketenangan dan inspirasi kepada ramai. Pengaruhnya akan terus hidup dalam ingatan mereka yang mengenalinya, dan semangat serta nilai yang dipegangnya akan kekal menjadi inspirasi buat kami semua.”
“Izzeldin akan dirindui oleh seluruh warga Islamic Relief. Beliau akan terus dikenang atas kesetiaan, keberanian, dan dedikasinya dalam memastikan keselamatan orang lain. Dikenali sebagai seorang yang baik hati, pemurah, dan penuh kasih sayang terhadap keluarga serta komuniti, kehilangannya amat dirasai.
“Di tempat kerja, beliau seorang yang sangat berdedikasi, sentiasa berusaha melangkaui tanggungjawabnya demi menjaga keselamatan orang ramai dan aset organisasi. Di luar pekerjaan, beliau berperanan sebagai Imam di masjid kawasan kediamannya, di mana kehadirannya membawa ketenangan dan inspirasi kepada ramai. Pengaruhnya akan terus hidup dalam ingatan mereka yang mengenalinya, dan semangat serta nilai yang dipegangnya akan kekal menjadi inspirasi buat kami semua.”
Sebagai pengawal dan penyambut tetamu, Izzeldin sering menjadi wajah depan Islamic Relief dan amat dihormati serta disayangi oleh komuniti.
Izzeldin dilahirkan dan dibesarkan di Zalingei, Darfur Tengah, wilayah luas di barat Sudan. Rakan sekerja dan keluarganya mengingati beliau sebagai seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa berusaha membantu orang lain sejak kecil.
Beliau menyertai Islamic Relief sebagai pekerja pembersihan pada tahun 1991 sambil meneruskan pelajaran sehingga berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Juba, Khartoum dalam bidang Bahasa Inggeris.
Selepas berkahwin, beliau tinggal bersama keluarganya di Darfur sehinggalah konflik dan serangan ke atas orang awam yang berlarutan sejak 2003 memaksa mereka berpindah ke Khartoum.
Apabila perang meletus di Khartoum pada April 2023, beliau tetap memilih untuk tinggal di rumah dan kawasan kejiranan yang dicintainya demi menyokong keluarganya yang besar.
Seperti kebanyakan organisasi kemanusiaan, Islamic Relief terpaksa menutup sementara pejabat di Khartoum dan berpindah ke Port Sudan di bahagian timur negara itu. Akibatnya, Izzeldin terpaksa meninggalkan sementara tugasnya pada Jun 2024, tetapi beliau tetap bertekad untuk kembali berkhidmat secepat mungkin.
Selama 40 tahun, Islamic Relief terus berusaha meringankan penderitaan rakyat Sudan, membawa harapan dan bantuan di saat-saat paling genting. Di sebalik krisis yang berpanjangan, komitmen kami dalam menyelamatkan nyawa tidak pernah goyah.
Hari ini, ketika keluarga besar Islamic Relief di seluruh dunia meratapi pemergian rakan kami yang tercinta, kami mengenang jasa dan pengorbanannya dengan penuh penghargaan. Terima kasih atas khidmat baktinya yang luar biasa selama berdekad-dekad, semangat dan legasinya akan terus hidup dalam perjuangan kami.
Sebagai tanda penghormatan kepada beliau, kami memperkukuh tekad untuk terus membantu keluarga yang terjejas akibat peperangan di Sudan. Selain menyalurkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan, kami akan terus berjuang demi keamanan serta memastikan perlindungan bagi orang awam dan petugas kemanusiaan.
Semoga Allah mengampuni beliau, merahmatinya, dan mengurniakan syurga tertinggi buatnya.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434