Tuesday April 7, 2020

Sehingga 7hb April 2020, lebih 1.3 juta orang telah di kenal pasti positif Covid-19 di lebih 197 buah negara di seluruh dunia. Dari sudut ekonomi dan sosial, jutaan terjejas akibat kehilangan pekerjaan dan dipercayai individu yang mengalami tekanan perasaan dan kes keganasan rumahtangga juga meningkat. Pelbagai inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan Malaysia atas usaha meringankan beban rakyat Malaysia. Pelbagai NGO juga tampil memberi bantuan dan tidak terkecuali pejabat rangkaian Islamic Relief di Malaysia, iaitu Islamic Relief Malaysia.

Sejak pertengahan Mac lalu, Islamic Relief Malaysia telah mengagihkan beberapa bantuan berbentuk topeng muka, set Peralatan Perlindungan Diri (PPE), mesin ventilator, bantuan barangan perubatan, bantuan makanan kering dan bantuan tunai. Bantuan disalurkan kepada agensi-agensi dan pertubuhan yang berdaftar, hospital kerajaan serta keluarga yang layak.

Keluarga besar Islamic Relief pula telah membelanjakan jutaan dolar untuk agihan bantuan kecemasan kepada lebih 20 negara yang berisiko dalam usaha membendung penyebaran virus corona dan membantu mereka yang positif Covid-19 serta membantu masyarakat yang mempunyai risiko untuk dijangkiti.

Ribuan kit kebersihan yang mengandungi keperluan penting seperti cecair pembersih tangan, penutup muka dan termometer telah diagihkan ke kawasan berisiko tinggi seperti Syria dan Afghanistan di mana kebanyakan hospital dan pusat rawatan telah musnah akibat krisis peperangan.

Dalam masa terdekat, Islamic Relief bakal menghantar bantuan yang lebih kritikal seperti mesin ventilator, kit makmal dan mesin x-ray mudah alih untuk negara-negara yang mempunyai kekurangan akses perubatan seperti Pakistan.

Islamic Relief juga akan menyediakan bantuan tunai kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana tanpa jaringan keselamatan sosial bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan.

Kempen Kesedaran Global Berlandas Agama

Dalam masa yang sama, Islamic Relief bakal melancarkan kempen peningkatan kesedaran bertujuan untuk memberitahu orang awam tentang bagaimana virus itu tersebar dan bagaimana untuk melindungi diri dengan menjaga kebersihan dan jarak sosial yang ditentukan.

Kempen ini akan disokong dengan bahan maklumat yang mendapat bimbingan daripada para ulama mengenai amalan keagamaan yang selamat. Berdasarkan pengalaman Islamic Relief menguruskan wabak Ebola sebelum ini, Islamic Relief memberi tumpuan terhadap penyebaran maklumat yang salah dan menekankan keharusan agama untuk menghentikan penyebaran penyakit itu dengan mengambil langkah menangguhkan ibadah berjamaah seperti solat jamaah dan solat jumaat di semua kawasan.

Panduan ini juga diguna pakai dalam upacara seperti pengebumian dengan memastikan ia dapat dilakukan secara hormat selaras dengan adat Islam, dalam masa yang sama melindungi mereka yang berada di barisan hadapan krisis ini.

Masa Untuk Menghulurkan Bantuan

“Dalam sepanjang hidup kita, dunia tidak pernah menghadapi ancaman seperti ini dan amatlah penting kita mengambil tindakan pantas di pelbagai bidang untuk menghentikan penyebaran penyakit ini dan mengurangkan kesan terhadap masyarakat yang paling terdedah dan berisiko dengan kehancuran ini,” kata Naser Haghamed, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Worldwide, NGO Kemanusiaan Islam terbesar di dunia yang beroperasi di lebih daripada 40 buah negara di seluruh dunia.

“Melalui kemurahan hati rakan-rakan dan penyumbang Islamic Relief, saya bangga mengatakan bahawa keluarga Islamic Relief telah mengeluarkan lebih daripada 5 juta USD dalam pembiayaan bantuan kecemasan kepada masyarakat yang terdedah terhadap penyakit ini.”

Jumlah tersebut merupakan sedikit daripada sasaran 10 juta USD yang akan diperuntukkan untuk menangani pelbagai aspek bantuan akibat krisis corona ini.

“Kami biasanya konservatif mengenai amaun yang kami berikan untuk krisis seperti itu, tetapi saya yakin dan berterima kasih kepada kemurahan hati para penderma dan keluarga Islamic Relief global yang sedang berusaha mendapatkan dana untuk bantuan ini sekaligus meningkatkan jumlah bantuan yang akan kami salurkan di seluruh dunia,” tambah Haghamed.

Kerjasama Kemanusiaan

Selain bergerak sendiri untuk bantuan kecemasan ini, Islamic Relief turut berusaha untuk mengintegrasikan bantuan dengan pelbagai pihak di peringkat global mahupun tempatan seperti agensi-agensi PBB termasuk WHO, UNICEF, WFP dan juga kerajaan tempatan untuk bantuan kesihatan.

Dengan virus yang memberi kesan kepada negara-negara kaya dan miskin, bantuan Islamic Relief akan meliputi negara-negara miskin yang tidak dilengkapi cukup peralatan untuk menangani penyakit ini dan tempat di mana coronavirus telah menjangkiti kebanyakan orang dan menyebabkan kematian.

“Coronavirus adalah satu cabaran yang benar-benar global, memerlukan penyelesaian yang benar-benar global dan sekiranya kita tidak bersatu menangani wabak ini, ia akan membawa kesan yang buruk,” kata Haghamed.

“Daripada melengkapkan wad pengasingan di Yaman dan menyediakan kit kebersihan di tempat perlindungan di Kanada, kami akan melakukan apa yang kami mampu untuk membantu komuniti yang terkesan.”

Ayuh Menyumbang

“Bagaimanapun, skala krisis ini tidak pernah dijangkakan dan banyak lagi yang perlu kita lakukan bersama untuk mengatasi isu ini. Untuk melawan virus ini, dunia perlu menggunakan semua senjata yang kita ada,” kata Haghamed.

“Dari sudut diplomatik pula, kita menyeru agar gencatan senjata di peringkat global disahkan dan disokong oleh Setiausaha Agung PBB, agar bedilan dan serangan seperti di Syria dihentikan sama sekali. Ini akan memudahkan kita membantu untuk menghentikan penularan wabak ini di kawasan yang bergolak.

“Untuk dana, kita juga memerlukan kerajaan dan PBB untuk meningkatkan dan memastikan dana global PBB sebanyak lebih 2 bilion USD untuk memerangi korona dipenuhi. PBB juga harus memperuntukkan 30 peratus dari dana ini kepada badan amal antarabangsa dan tempatan yang sering berdepan krisis, tetapi setakat ini hanya lima peratus yang telah diperuntukkan.

“Selaras dengan ikrar yang dijanjikan, Islamic Relief komited untuk melakukan apa sahaja yang dapat kami lakukan walau apa jua yang berlaku. Islamic Relief akan terus mengingati dan membantu orang-orang yang kurang bernasib baik serta berisiko untuk kehilangan bukan sekadar mata pencarian mereka tetapi juga hidup mereka.”

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE