Browse the site and make a Donation Now!
28 April 2025
Gaza kini bergelut dengan kebuluran yang semakin parah, setelah hampir dua bulan Israel mengenakan sekatan penuh mengakibatkan pasar-pasar kosong, kanak-kanak menderita kekurangan zat makanan, dan krisis kelaparan merebak tanpa kawalan. Bantuan kemanusiaan berada pada ambang kritikal, kecuali jika bekalan penting dibenarkan masuk dengan segera.
Penutupan semua laluan bekalan ke Gaza secara tidak sah dan tidak berperikemanusiaan ini merupakan satu kempen terancang untuk menjerumuskan orang awam ke dalam kebuluran.
Kakitangan Islamic Relief di lapangan melaporkan bahawa keadaan hari ini adalah yang terburuk pernah disaksikan. Ramai kanak-kanak terpaksa mengharungi hari-hari tanpa menjamah makanan, sementara lori-lori bantuan yang sarat dengan bekalan disekat dengan kejam hanya beberapa kilometer dari sempadan.
Daging, buah-buahan, telur dan produk tenusu kini hampir mustahil untuk didapati, sementara kekurangan sayur-sayuran menyebabkan harga pasaran melambung sehingga 15 kali ganda berbanding sebelum krisis. Keadaan ini menambah derita rakyat Gaza yang telah lama hilang pekerjaan dan mengalami kesempitan wang.
18 bulan serangan telah melumpuhkan keupayaan penduduk Gaza untuk mencari rezeki. Sebahagian besar tanah pertanian, rumah hijau dan bot nelayan telah dimusnahkan manakala kebanyakan binatang ternakan dibunuh. Kesannya, seluruh penduduk Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan, namun hak mereka dinafikan apabila bantuan kemanusiaan tidak dibenarkan masuk sejak 2 Mac lalu.
Satu tinjauan terbaharu terhadap 43 agensi bantuan di Gaza mendapati bahawa 95% agensi terpaksa mengurangkan atau menghentikan operasi akibat penutupan total dan pengeboman berterusan yang telah membunuh lebih 51,000 orang serta memusnahkan hospital dan tempat perlindungan.
Setiap hari kakitangan Islamic Relief mendengar kisah mengerikan tentang keluarga yang terbakar hidup-hidup di dalam khemah dan kanak-kanak yang cedera parah akibat pengeboman.
Walaupun berdepan situasi sukar akibat bekalan yang semakin kehabisan, Islamic Relief dan rakan-rakan kemanusiaan berusaha sedaya upaya untuk memastikan bantuan terus disalurkan.
Sepanjang minggu lalu, Islamic Relief dan Program Makanan Sedunia (WFP) telah mengagihkan biskut berkalori tinggi, bar kurma dan minyak sayuran kepada lebih 7,000 orang setiap hari. Walau bagaimanapun, bantuan ini masih belum mencukupi bagi menampung keperluan penduduk dan tidak mampu menggantikan makanan berkhasiat.
Selain makanan, Islamic Relief juga terus menyediakan bantuan kecemasan lain seperti kerja-kerja pembersihan secara harian di lebih 60 pusat perlindungan keluarga pelarian yang sesak bagi membantu menghalang penyebaran penyakit.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ratusan ribu orang sekali lagi dihalau dari rumah mereka atas arahan tentera Israel dan dipaksa berpindah ke kawasan yang lebih kecil tanpa air bersih dan sanitasi yang berfungsi, serta tanpa jaminan keselamatan. Israel kini mengisytiharkan hampir 70% kawasan Gaza sebagai kawasan larangan untuk orang awam melalui gabungan arahan pemindahan paksa dan zon larangan ketenteraan.
Mereka yang terjejas akibat kekurangan zat makanan dan penyakit tidak dapat mengakses rawatan kesihatan yang sepatutnya setelah Israel menghalang kemasukan semua bekalan perubatan. Bahan api turut disekat, menyebabkan penjana yang diperlukan untuk operasi menyelamatkan nyawa terpaksa dihentikan.
Gencatan senjata yang diperbaharui dan berkekalan mesti dilaksanakan. Membiarkan rakyat kebuluran dan menghalang bantuan kemanusiaan adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, namun dunia terus memejamkan mata. Kegagalan komuniti antarabangsa untuk bertindak menjadikan mereka bersubahat dalam penggunaan kebuluran sebagai senjata perang oleh Israel.
Kenyataan keprihatinan sahaja tidak bermakna tanpa tindakan sebenar, seperti menghentikan jualan senjata. Kerajaan-kerajaan mesti mengenakan tekanan politik dan ekonomi yang sebenar ke atas Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa, membuka semula laluan lintasan, dan membenarkan bantuan kemanusiaan serta bekalan komersial memasuki Gaza tanpa sebarang kelewatan.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434