Saturday July 26, 2025

28 Julai 2025

Dalam usaha untuk menangani krisis perubahan iklim, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) telah menyertai aktiviti penanaman pokok bakau yang diadakan di Pantai Kelanang, Banting, Selangor anjuran Junior Chamber International (JCI) Kuala Lumpur Mandarin dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada 26 Julai.

Aktiviti yang dibiayai oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) itu dijalankan di bawah Projek Penanaman Pokok Bakau sempena Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, pihaknya berbesar hati menjadi rakan strategik bagi JCI Kuala Lumpur Mandarin buat kali ketiga sejak mula bekerjasama pada Julai 2024.

“Antara faktor utama yang menjurus kepada krisis kemanusiaan ialah kesan daripada perubahan iklim dan bencana yang berlaku berpunca daripada isu-isu alam sekitar.

“Kemarau yang berlaku dan peningkatan suhu yang mendadak menyebabkan aktiviti pertanian tidak dapat dilakukan dengan baik sekaligus menyumbang kepada pengurangan hasil pertanian dan bekalan makanan yang akhirnya membawa kepada krisis makanan.

“Selari dengan visi Islamic Relief untuk mewujudkan dunia yang prihatin, hari ini kami dapat melihat ramai pihak bekerjasama menjalankan tanggungjawab sosial mereka dan komited untuk memulihara alam sekitar dan ekosistem di sini,” katanya.

Siti Fadilah turut menekankan bahawa pada tahun 2023 sahaja, lebih separuh daripada jumlah pelarian dalam negara di seluruh dunia yang direkodkan berpunca daripada kesan perubahan iklim, mengatasi jumlah yang terpaksa melarikan diri akibat peperangan dan konflik.

“Apa yang penting, aktiviti hari ini adalah satu usaha untuk kita sama-sama menangani krisis perubahan iklim. Usaha ini nampak kecil, tetapi besar manfaatnya.

“Hari ini, kami bukan sekadar menamam pokok bakau, tetapi kami tanam pokok bakau dengan kefahaman dan kesedaran yang tinggi demi menyelamatkan masa depan dan kehidupan manusia sejagat, insya-Allah,” tegasnya.

Sementara itu, seorang sukarelawan IR Malaysia yang juga pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi, Mohd Kamal berkongsi, “Aktiviti hari ini sangat menarik. Selain dapat cuba perkara baru, saya juga dapat menilai betapa pentingnya menjaga alam sekitar ini. Jika kita tak jaga, siapa lagi nak jaga?

“Saya menyeru kepada anak-anak muda di luar sana, joinlah aktiviti-aktiviti CSR ni, bantu orang lain, sebab sekali kita sebarkan kebaikan, orang lain juga akan sebarkan kebaikan yang sama dan kebaikan itu dapat dipanjang-panjangkan.”

Dalam aktiviti tersebut, 1,000 anak pokok bakau berjaya ditanam hasil penyertaan lebih

150 orang peserta daripada 14 rakan strategik termasuk IR Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Malaysia International Cultural Exchange Club, Malaysia Chinese Assembly Hall Youth Chapter, Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia, St. John Ambulance, dan lain-lain.

Menurut Pengurus Sekretariat JCI Kuala Lumpur Mandarin, Lim Sin Kai, pihaknya telah memulakan inisiatif jangka panjang ini sejak 2023.

“Pantai Kelanang terkenal dengan kawasan hutan paya bakau yang terkesan akibat hakisan, perubahan iklim dan kerosakan alam sekitar.

“Jadi sempena Hari Hutan Paya Bakau ini, kita sama-sama pulihkan ekosistem hutan paya bakau di sini.

“Kami menyasarkan penanaman 12,000 pokok bakau menjelang tahun 2026. Terima kasih kepada Islamic Relief dan semua rakan-rakan strategik yang hadir jayakan program yang sangat bermakna pada hari ini,” katanya.

Turut menjayakan aktiviti ialah Lau Weng San, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor; Tursina Yaacob, Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia; Vincy Leong, Pengerusi Penganjur; JCI Senator Vincent Leng, Naib Presiden Kebangsaan, JCI Malaysia; Cadence Yap, Presiden JCI Kuala Lumpur Mandarin; Louis Koh, Naib Presiden Eksekutif Kebangsaan, JCI Malaysia; Kenny Seow, Naib Presiden Kebangsaan, JCI Malaysia; Nurasykin Mohamed Yusuf, Penolong Pegawai Perancang Bandar Dan Desa, Majlis Perbandaran Kuala Langat; serta Hasnul Haniff Harun, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia.

Aktiviti tersebut turut mendapat tajaan daripada rakan-rakat korporat, GD Holdings Sdn Bhd, Ban Lee Hin Engineering & Construction Sdn Bhd, VS Build dan Sumo Wonder.

Aktiviti penanaman pokok bakau bukan sahaja membantu memulihara ekosistem pesisir yang terancam, malah secara langsung menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 14 (Hidupan di Laut), SDG 15 (Hidupan di Darat), dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).

Islamic Relief menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini yang menggariskan tanggungjawab negara-negara dalam menangani perubahan iklim dan memperkukuh keperluan tindakan segera terhadap krisis iklim.

Aktiviti penanaman pokok bakau ini merupakan langkah konkrit yang bukan sahaja memulihkan alam tetapi turut melindungi masyarakat rentan dan menyumbang kepada keadilan iklim.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE