Browse the site and make a Donation Now!
Ketika bencana cuaca ekstrem semakin meningkat, pemimpin di COP30 perlu mengambil tindakan
Komuniti yang terjejas akibat taufan di Filipina berdepan risiko kekurangan bekalan makanan yang serius dalam beberapa hari dan minggu akan datang.
Menurut amaran pasukan tindak balas kecemasan Islamic Relief, pihak berkuasa serta agensi bantuan kini giat berusaha untuk mencegah krisis kelaparan daripada berlaku secara meluas.
Taufan Fung-wong telah memaksa lebih 1.1 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka serta menyebabkan kemusnahan besar terhadap sektor pertanian. Pasukan kecemasan Islamic Relief di wilayah Aurora melaporkan bahawa kebanyakan keluarga telah kehilangan sumber pendapatan utama dan bekalan makanan mereka.
Petugas Islamic Relief menganggarkan lebih 96 peratus tanaman pisang di kawasan yang telah mereka kunjungi musnah, manakala para nelayan tidak dapat turun ke laut untuk mencari rezeki.
Ronald Cabalquinto, anggota pasukan tindak balas kecemasan Islamic Relief, berkata:
“Kemusnahan yang kami saksikan kali ini jauh lebih teruk berbanding taufan-taufan sebelum ini. Paras air mencecah ketinggian bangunan dua tingkat dan banyak rumah berhampiran pantai dihanyutkan sepenuhnya. Serpihan bertaburan di merata-rata tempat.
“Walaupun jumlah kematian tidak tinggi, ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini bergantung kepada bantuan dan hanya mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk dua atau tiga hari.
“Ramai yang kini menumpang di rumah saudara-mara, rakan dan jiran, namun kami turut melihat keluarga berlindung di tepi jalan hanya beralaskan kanvas kerana tidak mempunyai tempat lain untuk dituju.”
Sabilyo, 57 tahun, seorang nelayan di wilayah Aurora, memberitahu Islamic Relief:
“Satu-satunya sumber pendapatan keluarga saya ialah bot kami, tetapi bot itu terbelah dua akibat angin kencang dan ombak kuat ketika ribut. Saya tidak tahu dari mana hendak bermula. Rumah saya telah dihanyutkan dan bot saya juga sudah tiada. Saya hanya berharap ada pihak yang dapat membantu kami memulakan semula kehidupan.”
Agensi-agensi bantuan dan kerajaan Filipina telah mengagihkan pek makanan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal. Namun, bekalan tersebut dijangka habis dalam beberapa hari akan datang dan lebih banyak bantuan diperlukan dengan segera.
Taufan tersebut berlaku sehari sebelum Sidang Kemuncak Perubahan Iklim COP30 yang berlangsung di Brazil. Islamic Relief menyatakan bahawa krisis iklim menyebabkan bencana alam menjadi semakin kerap dan lebih dahsyat, dengan komuniti termiskin menerima kesan yang paling besar. Filipina turut mencatatkan jumlah taufan dan ribut yang tertinggi pada tahun sebelumnya.
Ronald Cabalquinto berkata:
“Di Filipina, taufan merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat kepulauan. Namun, ribut-ribut ini kini melanda lebih banyak pulau dan wilayah secara serentak serta menyebabkan kemusnahan yang jauh lebih besar berbanding dahulu.
“Amat penting bagi pemimpin dunia di COP30 untuk memenuhi komitmen mereka dalam mengurangkan pelepasan karbon dan memastikan peningkatan suhu global dapat dikawal.”
Pelaburan dalam sistem amaran awal serta usaha membantu komuniti menyesuaikan diri dengan perubahan iklim mampu menyelamatkan nyawa.
Di wilayah Aurora, jumlah kematian awal akibat Taufan Fung-wong adalah sifar, sebahagian besarnya hasil daripada amaran pemindahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.