Browse the site and make a Donation Now!
Mendepani jangkaan kemelesetan ekonomi dunia serta kenaikan kos sara hidup, Islamic Relief Malaysia meneruskan kesinambungan program bermusim Rezeki Ramadan menerusi edaran pek makanan di 11 buah negara termasuk Malaysia.
Program yang dilancarkan hari ini, 16 Januari 2023 akan berlanjutan sehingga 21 April 2023 dan dijangka menyantuni 37,250 individu dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM2.5 juta.
Kriteria utama pemilihan penerima bantuan ialah golongan B40 dan ke bawah, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik, pelarian, penduduk terjejas bencana dan keluarga dengan ahli yang ramai.
Program tahunan global yang dijalankan Islamic Relief selama hampir empat dekad ini bertujuan meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur ketika bulan Ramadan.
Tahun ini, secara keseluruhan, Islamic Relief bakal mengagihkan 314,032 pek makanan Ramadan yang memberi manfaat kepada lebih 1.7 juta individu di 30 buah negara.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, bantuan ini berperanan sebagai bekalan makanan tambahan ketika Ramadan. Bagaimanapun, bagi penduduk di negara konflik yang berdepan ancaman malnutrisi mahupun kebuluran, pek makanan ini mungkin satu-satunya sumber utama bekalan makanan buat mereka.
“Setiap pek makanan mengandungi bekalan makanan ruji mengikut negara masing-masing seperti beras, tepung, jagung, pasta, bijirin, kekacang, daging dalam tin, minyak masak, gula, teh dan kurma,” jelas Siti Fadilah.
Tambahnya, bantuan seperti ini sangat dinantikan mereka sepanjang tahun.
Islamic Relief Malaysia menawarkan tiga pakej sumbangan Rezeki Ramadan tahun ini seperti berikut:
Pek Makanan RM250 – Malaysia, Palestin (Gaza), Bosnia, Indonesia, Filipina
Pek Makanan RM350 – Syria, Yaman, Lubnan, Somalia, Afghanistan, Pakistan
Sedekah Ramadan – Sumbangan serendah RM10
Tahun lalu, Islamic Relief telah berjaya mengagihkan 302,919 pek makanan yang memberi manfaat kepada 1,573,125 individu di 33 buah negara.
Menerusi komitmen Islamic Relief Malaysia sahaja, 11,052 pek makanan diagihkan bagi menyantuni 61,040 individu hasil dana bantuan rakyat Malaysia.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434