Thursday August 8, 2024

Islamic Relief Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah berkuat kuasa 1 Ogos 2024.

Dato’ Sri Syed Saleh merupakan mantan Pengarah Eksekutif Haji di Lembaga Tabung Haji (TH). Beliau mempunyai latar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan di dalam bidang Kejuruteraan Awam dan memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Wales, United Kingdom.

Dato’ Sri Syed Saleh mempunyai pengalaman kerjaya selama lebih 37 tahun dalam pelbagai bidang seperti Perkhidmatan Korporat & Kewangan, Pengurusan Dana, Pembangunan Perniagaan, Pelaburan Hartanah dan Ekuiti serta Pengurusan Haji.

Seluruh warga kerja Islamic Relief Malaysia mengucapkan tahniah kepada Dato’ Sri Syed Saleh di atas pelantikan ini. Islamic Relief Malaysia optimis dan percaya dengan pengalaman yang dimiliki, Dato’ Sri Syed Saleh dapat memacu organisasi ke arah kecemerlangan selaras dengan visi dan misi Islamic Relief.

Dato’ Sri Syed Saleh dilantik sebagai pengerusi baharu bagi menggantikan Prof. Dr. Azni Idris yang merupakan pengasas bagi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia sejak Jun 2004.

Pada 19 Mei 2011, Prof. Dr. Azni telah dilantik sebagai Pengerusi, menggantikan Dr. Hany El-Banna, iaitu pengasas Islamic Relief di seluruh dunia.

Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, pihak pengurusan dan kakitangan Islamic Relief Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof. Dr. Azni atas kepimpinan, komitmen dan sumbangan yang tidak ternilai kepada organisasi dan penerima manfaat selama 13 tahun sehingga berjaya meningkatkan reputasi dan kredibiliti Islamic Relief Malaysia sehingga kini.

Islamic Relief Malaysia mengalu-alukan sokongan berterusan daripada seluruh warga Malaysia terutama pihak korporat, individu, rakan media dan ahli masyarakat untuk sama-sama mendokong visi Islamic Relief bagi mewujudkan dunia yang prihatin di mana komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan dan masyarakat bersatu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan.

Islamic Relief Malaysia

8 Ogos 2024

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE