Wednesday January 15, 2025

Pekerja bantuan di Wad Madani menyifatkan bandar itu kini ibarat ‘rangka yang musnah’. Justeru, penduduk yang pulang semula ke bandar itu sangat memerlukan sokongan kemanusiaan.

Penghujung 2023 menyaksikan ratusan ribu penduduk melarikan diri daripada pertempuran sengit di Wad Madani apabila Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengambil alih bandar tersebut.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera Sudan berjaya merampas kembali bandar tersebut, satu perkembangan ketenteraan yang penting dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Ramai daripada penduduk yang melarikan diri daripada kediaman asal mereka, hidup dalam keadaan yang sangat sukar di kem pelarian dan tempat perlindungan yang sesak di Sudan Timur.

Kakitangan Islamic Relief di Sudan menjangkakan ramai akan mula kembali ke bandar itu dalam masa beberapa hari atau minggu yang akan datang. Namun, mereka sangat memerlukan bantuan seperti makanan serta sokongan untuk membina semula kehidupan mereka.

Menurut Elsadig Elnour, Pengarah Negara Islamic Relief Sudan, “Bandar ini kini ibarat rangka yang telah menyaksikan kemusnahan perkhidmatan awam, pasar, bekalan makanan, infrastruktur air dan penjagaan kesihatan. Jadi, mereka yang pulang memerlukan banyak bantuan.

“Keperluan utama ketika ini ialah penghantaran bantuan makanan segera, penjagaan kesihatan dan baik pulih infrastruktur air.

“Walaupun tanpa kemudahan perkhidmatan akibat kemusnahan yang teruk, kami menjangkakan orang ramai akan kembali tidak lama lagi kerana mereka hidup dalam keadaan yang sangat teruk dan terdesak di kem-kem pelarian dan tempat perlindungan di Sudan Timur.

“Tanpa pekerjaan, mereka tidak mempunyai makanan yang mencukupi dan tidak mampu membayar sewa rumah yang mahal. Disebabkan itu, ramai yang ingin pulang ke rumah asal mereka secepat mungkin walaupun tiada apa-apa yang tersisa di sana.”

Islamic Relief terus menyeru pihak-pihak yang bertelagah untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan. Kami juga menyeru komuniti antarabangsa untuk meningkatkan usaha bagi mengelakkan kebuluran merebak ke seluruh negara dan mencapai perjanjian damai yang berkekalan.

Orang ramai berpeluang untuk membantu penduduk Sudan dengan menyumbang terus ke kempen IR Malaysia di laman web; www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Penafian: Islamic Relief Malaysia tidak bergabung dengan mana-mana laman web luar. Islamic Relief Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kandungan laman Internet luaran dan sebarang pautan dari laman web luar ke laman web ini yang bukan merupakan laman web Islamic Relief Malaysia. Hak cipta terpelihara. Setiap sumbangan dalam talian akan dikenakan caj sebanyak RM0.60 untuk pembayaran melalui Perbankan Internet. Setiap sumbangan tidak mendapat resit Pengecualian Cukai. Kami menghargai sokongan berterusan anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.
© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia, Inc. All rights reserved.

QUICK DONATE