Browse the site and make a Donation Now!
30 usahawan baru yang dibentuk oleh Sime Darby Property (SDP) melalui kerjasama strategik bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) diraikan dalam program Karnival Mini dan Ceramah Komuniti: Zero 2 Hero.
Karnival anjuran SDP dan IRM yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang, Selangor itu mendapat kerjasama daripada JKKK PPR Taman Putra Damai.
Ia merupakan majlis penutup kepada Projek Pembangunan Komuniti Sime Darby Property yang telah berlangsung selama enam bulan bersama 30 usahawan terpilih daripada kalangan penerima manfaat IRM.
Selain untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara penerima manfaat, penduduk PPR Taman Putra Damai, penaja dan pelaksana, penganjuran majlis tersebut dilihat dapat membantu para penerima manfaat dalam mempromosikan produk dan perniagaan mereka disamping untuk meningkatkan motivasi mereka melalui Ceramah Komuniti: Zero 2 Hero yang disampaikan oleh Pengasas Butik Calaqisya, Hazwan Faiz bin Abd. Rahim dan Pengasas Anis Moist Chocolate Cake, Junaidy bin Abu Bakar.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Wan Hashimi Albakri W.A.A Jaffri, Ketua Pegawai Operasi, Sime Darby Property bersama Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif IRM.
Zairulshahfuddin dalam ucapannya berkata, “Kami berterima kasih kepada pihak Sime Darby Property yang memberi penajaan dan kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan Projek Pembangunan Komuniti ini.
“Projek ini mula dilaksanakan sejak Ogos 2016 dan berakhir pada Januari 2017 dibawah seliaan dan pantauan petugas-petugas SDP dan IRM.
“Apa yang membanggakan kami, selama enam bulan usahawan-usahawan ini menyertai segala program dan aktiviti yang dianjurkan, mereka akhirnya mampu berdiri di atas kaki sendiri dan berjaya menghasilkan produk-produk perniagaan setanding dengan insan lain di luar sana.”
Sementara itu, rata-rata penerima manfaat yang ditemui berkata, mereka amat berterima kasih kepada SDP dan IRM atas kesungguhan menyediakan modul pembangunan untuk mereka hingga akhirnya mereka berjaya meningkatkan tahap ekonomi diri dan keluarga.
Dato’ Wan Hashimi Albakri berkata, “Sebagai syarikat pemaju hartanah yang mempunyai tanggungjawab yang tinggi terhadap para komuniti di perbandarannya, Sime Darby Property mengambil inisiatif untuk menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka yang kurang berkemampuan agar dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.
“Program ini juga bertepatan dengan aspirasi Sime Darby Property untuk membangunkan komuniti mampan, yang mampu menjana serta memelihara kesejahteraan untuk dinikmati semua.”
Antara aktiviti lain yang berlangsung di karnival tersebut adalah gerai jualan oleh 30 usahawan, demo masakan oleh chef dari Sime Darby Convention Centre (SDCC) yang dikendalikan bersama personaliti TV AlHijrah, Azidah Mohamed, pertandingan mewarna serta persembahan busking oleh sukarelawan IRM iaitu Soul Brothers.
Sebagai tanda penghargaan, kesemua 30 penerima manfaat menerima sijil penyertaan daripada SDP manakala dua orang antara mereka terpilih untuk berkongsi kisah kejayaan kepada tetamu yang hadir.
Projek ini merupakan program dimana komuniti diupayakan melalui peningkatan ilmu pengetahuan, kesihatan dan pendapatan isi rumah. Ia mengumpulkan sejumlah penerima manfaat di dalam satu kumpulan kecil dan diberikan ilmu dan keperluan yang sejajar dengan kepentingan mereka bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup.
Di PPR Taman Putra Damai, kebanyakan penerima manfaat yang dibantu terdiri daripada kalangan peniaga-peniaga kecil yang menjalankan perniagaan seperti menjual kuih-muih, menjual burger, menjahit, menjual bola golf, membuat kek dan sebagainya.
Dari situ, IRM dan SDP selaku penaja telah memilih sektor ini untuk dibangunkan dan diberi penekanan. Ia bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan antara keluarga miskin dalam penyertaan kolektif dan tindakan, sosial, meningkatkan kesedaran dan praktik, peningkatan produktiviti ekonomi, pembinaan keupayaan, pendidikan anak-anak, kemahiran keibubapaan serta status kehidupan 30 keluarga yang disasarkan.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434